Sunday, February 22, 2009

Satu Jasad Satu Nyawa

Kita berhutang satu jasad satu nyawa
syurga yang kita damba
belum tentu tertunai segera
dosa yang kita tidak minta
tidak terelak lantaran alpa
namun kita hanya hamba
segala-galanya adalah Dia
walau sehelai rambut yang gugur
adalah atas kehendak-Nya jua
maka sedarkah kita
setiap nafas yang kita terhutang
entahkan bila membayarnya
takkan termampu!

Satu kepala satu perut
kepala mengangguk bertukar geleng
mulut tersuap mulut bercakap
dua tangan dua kaki
apa dibuat ke mana melangkah
pernahkah kita perhitungkan
dua mata dua telinga
terlihat haram terdengar sumbang
satu jantung satu hati
adakah berdenyut kerana Tuhan?
adakah terdetik kerana keikhlasan?

satu jasad satu nyawa
syukurkah kita sebagai hamba
apabila kita merosakkannya?


Kuala Lumpur.
10 Januari 2008

No comments:

Post a Comment