Wednesday, March 7, 2012

Sajak SBPA


sejak belum perlukan apa-apa
takda duit pun tak apa
makan pun sekadar yang ada
minyak motor 50 sen sehari (rasanya)
sewa rumah ibu bapa kasi
masuk U PTPTN beri (pinjam je)
yang nasib baik dapat biaya siswa
masa tu gaji usah dimimpi
naik kereta sewa, bas mini
balik kampung dengan keretapi
sebab belum perlukan apa-apa
seperti hari ini

sejak saradiri, mak ayah [ssm]
gaji itulah kereta, anak bini, rumah
bil astro, letrik, internet, air atau apa saja
ada kad kredit asyik nak kena tipu je
makan mentekedarah serba serbi nak rasa
masa belajar makan lauk ikan rebus dengan budu
dah kahwin semua ada di pasar nak ada atas meja

bila kerajaan janji nak dinaikkan gaji
semua yang berkenaan terkinja-kinja gembira
termasuk hamba yang baru merasa nikmat rumahtangga
bini baru satu, anak dah masuk dua
nak buat sistem baru, mansuh sistem lama
setelah sekian waktu menunggu, penuh debar di dada
bagaikan intan berderai menjadi kaca
nak buat macam mana
kita ni kuli saja

yang tak pernah bermimpi jadi raja,

Hasmora

Monday, November 8, 2010

Di Hujung Malam


apa ada pada hujung malam
bintang-bintang atau khayalan?
atau mimpi-mimpi belum pulang..
pada lena yang panjang..

Monday, May 3, 2010

Pangkal Jalan

Tika kau lenjun dibasah hujan

ketahuilah amarahmu tidak padam

pada sifat basah memadam api

lantaran dalam dirimu nan menyala

bara nafsu tiada kawalan iman

dan akal sesatmu menambah onar

tetap kau dalam nanar di persimpangan

lalu kembalilah ke pangkal jalan

kerana Tuhan masih membuka pintu

Keampunan.

Hasmora Masnuri

Taman Bukit Angkasa

14 Jun 2009

Friday, April 2, 2010

Sudah jarang menulis

Sejak tidak lagi berhadapan dengan hiruk-pikuk kota raya Kuala Lumpur. Sejak berkahwin dan jarang-jarang membujang dengan kawan-kawan di kedai kopi. Sejak bergelar guru di Negeri Bawah Bayu, saya sudah jarang menulis.

Dulu saya suka mengemaskini blog, untuk kepuasan sendiri dan juga perkongsian peribadi. Menulis sajak sama ada dihantar atau siar di blog atau simpan saja. Kini pun saya masih menulis, tapi jarang benar.

Jarang benar.

Puisi saya yang terakhir bertajuk ‘Bila Banyak Lebih’. Dua atau tiga minggu yang sudah saya tulis. Awalnya saya ingin hantar ke majalah Solusi, namun tidak terhantar. Entah mengapa. Lama sudah saya tidak hantar puisi kepada editor Utusan Mingguan (sastera). Juga lama tidak saya hantar puisi ke majalah Tunas Cipta. Apatah lagi Dewan Sastera, saya langsung tiada rasa berdaya menembusinya langsung. Walau orang kata tak cuba tak tahu.

Entah mengapa.

Idea dan ilham kadang-kadang datang mencurah-curah, menyebabkan banjir idea. Namun dalam masa sekejap sahaja sebelum saya sempat menulisnya ilham itu ‘ghaib’ begitu sahaja. Usahkan cerpan, apatah lagi novel, penghasilan puisi pun tidak begitu memberansangkan.

Kalaupun ada orang berpendapat, seseorang penulis lelaki sukar meneruskan penulisannya selepas berkahwin, saya kata pendapat itu tidak tepat. Kerana saya ketika belajar pun tidak ghairah menghasilkan karya, selepas berkahwin apatah lagi.

Seorang penulis memang memerlukan motivasi dalaman yang kuat untuk tegar menulis tanpa jemu dan putus asa, dan inilah yang sebenarnya saya perlukan sekarang ini.

Zaharah Nawawi pernah menegaskan kepada kami peserta Bengkel Penulisan Cerpen Pelbagai Kaum 2007, bertempat di Hotel De Palma Ampang; yang penting dalam penulisan ialah disiplin. Tiada alasan tiada masa, kerana setiap kita ada banyak masa terluang. Cuma disiplin kita memanfaatkannya.

Bermula hari ini detik ini; saya ingin menanam azam agar cergas menulis dan mencapai cita-cita menjadi penulis mapan suatu hari nanti.

Doakan.


Taman Jadi, Kota Belud Sabah

Pasir Jadi Bintang

kita adalah pasir hinggap di sepatu
menjadi kaca pabila lebur hangat api
atau mentol menyala di malam hari
namun kita akhirnya kan lebur
seperti buih pecah hancur

kita adalah butir-butir pasir
yang ingin menjadi mentari
ingin menjadi bintang!

Hasmora Masnuri
Taman Bukit Angkasa
1 Mei 2009

Wednesday, January 27, 2010

Hidup Beristeri

(buat mereka yang masih membujang)

Hidup beristeri sunnah nabi
siapa menafikan, bukan umatnya
kita ini manusia hanyalah biasa
bukan malaikat tiada hajat
usah memilih rahib
menipu diri namanya
bisakah menahan nafsu
sedang diri amarah gejolak.

Ingin beristeri, kawan
pilih-pilihlah sedap di mata
yang elok budi berakhlak mulia
jangan hanya cantik rupa
tapi jelik pekertinya
jangan lawa sahaja
namun hodoh perangai
jangan pandai pelajaran
tak cerdik pula bicaranya
kerana isteri itu kata Rasul mulia
syurga dunia sebelum syurga akhirat
tersilap memilih nerakalah dunia
khilaf mata hati, sengsaralah jiwa.

Beristerilah, kawanku
pilihlah jalan selamat
semoga kita di istana syurga
bukan merempat melarat
di jurang lubang neraka.

Hasmora Masnuri
Jeram, Kuala Selangor
7.50 pagi, 24 Oktober 2009