Thursday, February 26, 2009

PANTUN LOMPAT SI YB KATAK


Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB lompat
Lompat parti sesuka hati

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB cepat
Tapi jaga-jaga kaki

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah YB lompat
Awas masuk kandang babi

Lompat si katak lompat
Lompatlah tinggi-tinggi
Lompatlah parti lompat
Kau dah bangang apa kupeduli!

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa
6.00 ptg, 05.02.09

INTERPRETASI SEBUAH MALAM PUISI

Persembahannya paling bertenaga dan bernyawa


(Malam Puisi di Bawah Langit Gaza, PENA)

Ramainya yang datang menyaksikan

ramainya juga memakai selempang
wah semangatnya anda saudara,tapi...
adakah anda berdoa setiap malam
agar Gaza mengecap keharmonian.

Puisi-puisi melantun dari dada penyair
hatiku meruntun cair
oh kuharap ini bukan sekadar retorik indah
yang akhirnya hanyut di bawa angin malam
dimamah oleh gundah hati kelam.

Kumampir ke Teratak Pena kali ini
bukanlah pemandangan begini yang kuharap
tapi apakan daya yang mampu kubuat
memang begini pemandangan dunia kini
dedah sana dedah sini
kalau boleh hendak ditunjuk semua barangkali
wah... di mana-mana pun kini
orang Melayu pun suka pakai macam yahudi!

Aku bukan penyair malam puisi ini
maafkan aku andai ada stanza menghiris hati
inilah bicara hati Hasmora Masnuri
sesungguhnya kita usah hanya marahkan yahudi
tetapi lihatlah dalam diri sendiri
yang mengalir dalam darah dan denyut nadi
adakah ada racun-racun duniawi
ideologi-ideologi propaganda yahudi.


HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa
1 Februari 2009

MENANAM KALAM TUHAN


menanam Kalam Tuhan
dalam dada
bukankah lebih baik
dari menanam naskahNya
di Kutub Utara
lalu kita tanpa rasa berdosa
berbangga
dengan sikap bodohnya

alangkah susah untuk menjaga
sukma dinoda dosa-dosa
yang menjadi racun
dan jiwa pun mati
tiada lagi rasa
cinta Ilahi

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa

DARI DINDING KE DINDING

dari dinding ke dinding
kita melukis hidup kita
dari warna-warna nihil
dengan berus jahil
hingga kini hanya mengguna jari
melukis setiap katarsis
setelah luka sukma diguris.

dari dinding ke dinding
kita mencoret warna-warna katarsis
ke atas warna-warna nihil
dengan sukma yang mulus.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa

PERNAHKAH TERMIMPI?

pernahkah bermimpi
malam tanpa bulan
hanya cahaya dari rumah terbakar
menerangi alam hingga ke langit

pernahkah termimpi
saudara kita di Palestin tertidur lena
tanpa di ganggu desir senjata yahudi?

alangkah sukar melelap mata
alangkah hilang sepicing lena
kerana asyik bermimpikan saudara
sentiasa tergenang air mata
menangis ratap hiba
lantaran kejamnya manusia
seolah-olah mereka bukan lagi manusia

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa

MELAKAR LEMBARAN HIDUP


Dakwat tinta masih basah pada lembar kisah semalam
lalu bagaimana kuingin melakar kisah baru
pada lembaran baru pada esok hari.

Langit jingga masih belum padam pada petang ini
bagai tak rela malam memadamkan hari ini
dan menggantikan hari baru pada esok hari.

Hujan masih turun lewat malam ini
bagai menangisi dosa-dosa semalam
yang belum terbasuh dek kejahilan manusiawi.

Tatkala melakar lembaran baru, setiap hari
lakaran-lakaran semalam tetap terbayang
pada helaian-helaian hidup yang semakin pudar.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa
29 Disember 2008.

-Mingguan Malaysia, 4 Januari 2009

MENAWAN PUNCAK TABUR


Mentari jingga terbit dari ufuk timur
tersenyum pagi ini sungguh menawan
sungguh kuteruja untuk menawan sebuah puncak
biarpun tidak setinggi awan
dan pagi ini, aku bergerak
bersama-sama mereka yang baru menjadi kawan
hari pertama tahun baru,
hatiku sungguh diharu menusuk rawan.

Keinginan menakluk puncak
yang tidak seberapa tinggi
tetap mencabar
kerana batu-batu bergigi
tetap juga bimbang
dengan langkah penuh hati-hati
kerana sudah ada yang jatuh di sini
dek kerana terlepas tali.

Bersama kawan yang baru kukenal
tidaklah aku merasa janggal
kerana ukhwah fillah dalam diri
tidak sukar kumesrai.

Dalam perjalanan
bertemu saudara Chung Hwa
sudah ingin turun rupanya
mereka entahkan subuh sudah menjelma
melihat kabus melintas depan mata.

Melihat UIA dari puncak Tabur
juga menikmati pemandangan Kuala Lumpur
entah asap entah kabus pandanganku kabur
ah Kuala Lumpur, tempat cinta-cinta berterabur!

HASMORA MASNURI
Bukit Tabur
1 Januari 2009

MALAM-MALAM SEMALAM

malam-malam semalam
berlalu dan berlalu
kitakah yang tidak merasa rugi
membiarkan ia pergi
tanpa sujud kepada Ilahi...

mengenang dan mengenang
malam-malam semalam
yang berlalu dan pergi
tiada akan berundur lagi
kitakah hamba yang rugi
mensia-siakan peluang
yang diberi...

mengenang malam-malam semalam
aku merasa rugi
kerana membiarkan ia pergi dan berlalu
dan setiap kali munculnya pagi
tika sujudku padaNya
segala syukur dan segala puji
kerna masih diberi nafas
semoga malam ini
dan malam-malam mendatang
takku persiakan lagi.

HASMORA MASNURI
Taman Bukit Angkasa

Raktamrittika

sebelum nama-nama ini; Medang Kilatan Saji - Kilatan - Kelantan


sudah lama ku tak kembali ke Raktamrittika
aku makin merindui 'chih tu'nya
aku tidak betah lagi bergelumang selut
di arus berlumpur ini..

Raktamrittika negeri makmur
aku bangga menjadi marhaennya
Raktamrittika negeri berdaulat
tenang hidup dalam kesederhanaan
Raktamrittika negeri penuh nikmat
bersyukur aku seadanya segala...

HASMORA MASNURI
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

Semalam, Setelah Usai Segalanya

(secebis catatan yang tertangguh)
-dedikasi buat intake 27


Catatan yang tertangguh ini
Kunukilkan buatmu teman
mengimbau detik-detik semalam
yang kita tinggalkan menjadi kenangan
setelah usai segalanya.

Setelah usai ujian pelajaran
kita mengukur sebuah padang
dengan sekujur badan
dan bermulalah ujian akal fikiran
sejauhmana ia mampu bertahan.

Kita menjadi manusia terlupa hari
dan tanpa sedar hari yang berlari
sudah jauh batas waktu kita lewati
tidak juga kita sedari
kita sudah berada di sini
termenung sejak dinihari.

Hari itu, setelah usai sebuah pertandingan
Kita sebenarnya tidak hairan
jika ada keputusan tidak memuaskan
ada keputusan dipertikaikan
ada keputusan yang ditangguhkan
tiada keadilan ditegakkan
kerana kepalsuan itulah kebenaran
tatkala kebenaran dipalsukan.

Kala matari membahang
ada antara kita yang tumbang
dan banyak mata mula memandang
esoknya bertambah pengawal padang
dan bertambah juga pembawa pedang.

Kita mengukur jarak padang petak sempit
Sesempit petak-petak fikir si akal fakir
namun kita tidak ketemui penghujungnya
sehingga hari terakhir
selepas menjadi penunggu yang setia
dan menamatkan pengukuran dengan bergaya.

Pernahkah kita menyangka hari yang cerah
tiba-tiba awan hitam datang menyimbah basah
kita menyangka sang bayu menyapa
rupa-rupanya ribut taufan yang menerpa
kita menyangka pawana menjelma
namun pawaka datang bawa onar
dan adakah pernah kita menebak
bahawa hidup yang penuh nikmat
akan tiba-tiba ditimpa azab.

Kita mengharapkan inilah daun terakhir
dan hari-hari akhir sebagai beluncas
sebelum berubah menjadi kupu-kupu
terbang bebas di udara
namun percaturan selalunya silap
pabila sayap yang berkembang
tidak membawa kita jauh
ke seberang pandangan.

Dalam deru ombak yang mengasyikkan
entahkan hilang segala resah gelisah
yang berkelabut dalam ruang fikir
entahkan terurai segala yang terkusut di jiwa
entahkan tenang segala gelora di dada kita
dan pulau yang kita saksikan di pantai ini
sepikah seperti hati kita
yang sunyi dari uji derita
tapi bersipongang luka dosa.

Semalam, setelah usai semusim bersama
kita memilih haluan sendiri
mencari rentak hidup sendiri di duniawi ini
entahkan semua momen yang dilewati
akan terus terpatri dalam memori
dan masihkah ada di hati perimanusiawi
yang kita asah dan pahat bersama
di sekolah hidup penuh kefanaan ini.

Semalam, setelah usai segalanya
kucatatkan catatan yang tertangguh ini
kupahatkan kenangan pada stanza puisi
mungkin kabur buatmu tapi bukan padaku
silakan selami makna tersurat dan tersirat.

Dan semua ini hanyalah,
secebis catatan yang tertangguh...


HASMORA MASNURI
MARKAS PALAPES UM
22 – 30 Jun 2008.

Sunday, February 22, 2009

Tika Masa Berlari... Di Angkasapuri

Malam masih muda
di Angkasapuri
sedang aku makin tua
meniti hari
namun tidak terasa
masa berlari.

Komuter belum tiba
aku bersabar
matiku entah bila
hatiku berdebar
kanvas senja jingga
telah lama tercalar.

Berdedai-dedai manusia
berkongsi perjalanan
namun entah berapa
yang mencari Tuhan.

Menunggu komuter di Angkasapuri
nurani aku termenung panjang
mengheret nafsi insafi diri
bahawa nanti pasti
kudijemput pulang.

Hasmora Masnuri
Hentian Angkasapuri.

Seribu Bicara Satu Bahasa

Aku hanya ada satu bahasa
bahasa itulah bahasa ibunda
bahasa itulah bahasa diraja
bahasa itulah bahasa perantara
bahasa itulah bahasa bangsa.

Kini kudengar seribu bicara
hanya ia satu bahasa
melambangkan satu bangsa
bangsaku ‘bangsa Malaysia’
oh ya bahasaku,
“Apakah namamu kini?”.

Kini kulihat bahasaku dilanda kalut
bahasaku jadi mangsa kemelut
bahasaku kononnya tidak memajukan bangsa
bahasaku kononnya hanya bahasa sastera
bahasaku kononnya bukan bahasa angkasa
padahal pada zaman kegemilangan Melaka
bahasa bangsaku adalah lingua franca
digunapakai pedagang seluruh dunia!

Aku jadi keliru sebenarnya
bahasaku dilacurkan pejuang bangsa
sekejap begitu sekejap begini
aku kasihankan anak-anak desa
sudahlah mundur lagi di hulu
sedangkan anak-anak di hilir pun
ternganga-nganga, terpinga-pinga.

Kita ingin maju dengan bahasa asing
bahasa yang pernah menjajah tanah air
jadi apa erti kita merdeka lima dasawarsa
jika bahasa asing masih dekat di hati
bahasa sendiri disimpan di dalam peti.

Berhati-hatilah pemimpin bangsa
dalam setiap ucapan kata bicara
kelak pabila nanti dipersoalkan oleh-Nya
barulah kau terdiam seribu bahasa!

HASMORA MASNURI
Kuala Lumpur.
14 November 2007

Puisi Malam Sabtu

Malam ini aku tersentuh amat
kesan rentetan beberapa hari lalu
yang datang padaku dan berlalu
seperti angin hadir menyampai pesan
bahawa sekian banyak kenangan
dan nostalgia mengimbau dalam kotak ingatan
menerawang dalam tiap ruang fikiran
bahawa hari esok menjelang
kita kan pasti mencari sinar baru
untuk menyuluh masa akan datang.

Sebenarnya dalam dadaku tiada lagi ruang
untuk aku terus menerus merasa riang
dan setiap nafas yang aku hirup sewaktu pagi
menjadi racun tatkala hadir dinihari
kerana sekian lama aku berhenti
mencari udara yang lebih segar
di ruang angkasa yang aku berlegar.

Dan sekali lagi aku merasakan
malam ini akan bertemu siang
sebelum puas aku menikmati dakapan malam
yang mengulit lenaku sehingga
tanpa aku sedari aku bermimpi di dalam mimpi.

Seperti malam-malam sebelum ini
aku berselimut kain cadar yang dibekal ibu untuk
membungkus aku tatkala tidur
bimbangkan sejuk dan nyamuk menggigit
kerana kata ibu nyamuk kota raya bahaya sekali
dan pesan ibu juga
“kita orang susah mesti belajar dari kesusahan,
biarlah tidak senang kalau senang itu,
melupakan kita kepada Tuhan”

Aku bisa sendu kerana rindu
namun aku lebih terkedu jika pesan ibu
menjadi angin lalu
dan aku akan menyesali
saat bayu berbisik-bisik pilu
dan menganjing-anjingkan aku.

Malam ini malam sabtu
semoga esok apabila ayam mobilfonku berkokok
aku akan bangun dan sedia menghadapi hari baru
dengan harapan langit masih lagi biru
dan matahari masih terbit seperti dulu.


Hasmora Masnuri
Teratak Dayasari
5 April 2008.

Engkaukah

engkaukah yang datang bersama malam
dan terang siang bertukar jadi kelam

engkaukah yang hadir bersama janji
namun itu semua kau mungkir kini

engkaukah yang pergi bersama mentari
dan mencuri sinar indah waktu pagi

engkaukah yang datang mencekak pinggang
dan berlagak seperti pemburu bayang

engkaukah yang sekejap ada sekejap hilang
belum pun sempat aku menatap pandang

engkaukah dia yang datang tiba-tiba
dan mengatakan bahawa aku bukan pilihannya

engkaukah, engkaukah, engkaukah...
yang tiba-tiba pagi ini mengingatkan aku
bahawa kenangan dan nostalgia dulu
menjadi pahit ubat luka hati
yang lama berdarah di sanubari
dan jiwa nan lara..


Hasmora Masnuri
Teratak Dayasari

Aku Hairan

Aku hairan
dia dulu bijak sangat
tapi sekarang
dia jadi bodoh amat.

Aku hairan
orang yang mengatakan boleh
sekarang ingin pergi melarang.

Oh kenapa jadi begini
entah apa dah jadi
sudah haru biru semua
pembuat kapal ingin
membakar kapalnya
peneraju bedar sendiri
hilang bintangnya
pembocor bahtera
dilantik sebagai nahkhodanya!

Hasmora Masnuri
Universiti Malaya
2 April 2008

Kekasihku Kekasih Tuhan

Ya Muhammad bin Abdullah
Engkaulah kekasihku
Yang kupuja puji siang dan malam
Selawat dan salam duhai kekasih Tuhan
Pembawa sinar cahaya menerangi seluruh alam.

Hadirmu ayuhai kekasih Allah
Utusan yang terakhir
Untuk ummat akhir zaman
Penghulu segala nabi
Yang membawa sinar panji ilahi.

Aku hanya ummatmu ya Muhammad
Betapa aku merinduimu tiap saat
Betapa aku ingin bertemumu jika diizinkan
Meski aku hanya marhaen hina
Sering tersasar halatuju
Dek godaan syaitan sering mengganggu.

Wahai kekasih Tuhan
Kekasih para sahabat
Kekasih para syuhada'
Pemberi syafaat di akhirat
Penunjuk jalan buat yang sesat
Jadilah kekasihku
Marhaen hina ini.


Hasmora Masnuri
Uni.Malaya

Memilih Ranting

Dalam perjalanan menuju taman idaman
Aku masih tidak tahu
Adakah aku akan tiba
Ke destinasi yang kutuju
Kerana semua itu ketentuan
Tuhan yang maha tahu.

Dalam perjalanan ke firdausi
Terlalu banyak ranting-ranting
Sehingga sukar kupilih
Untuk kujadikan tongkat
Menyokong kedudukan tubuh
Tatkala mendaki bukit
Ketika menuruni curam
Denai hidup penuh liku.

Hanya kumohon kepadaNya
Berikan aku kekuatan
Dalam membuat keputusan
Dilema yang menyukarkan ini.


Hasmora Masnuri
Teratak Dayasari
28 Mac 2008

Aku Cinta Padamu (ya Rasul)

Engkau kekasih Yang Maha Pencipta
tetapi kau paling merasa diri hamba
menghina diri di hadapanNya.

Engkau dicintai para sahabat
sehingga mereka sanggup berkorban
masa, keluarga, harta, jiwa dan nyawa
siapalah aku dibanding mereka
aku hanya ummat penuh dosa
seringkali lupa dan alpa
aku ini jua hanya hamba.

Ingin sekali mengoreksi diri
ingin sekali menitis airmata keinsafan
meski kelam zulumat hati ini
dikuasai nafsu amarah
yang kini semakin parah.

Hanya kumohon pada Allah
jadikan aku seperti Abu Bakar
seperti Umar yang gagah
seperti Ali yang berani
seperti Hamzah yang tidak gentar
seperti Bilal dan semua sahabat
yang mencintaimu murabbi
lebih dari nyawa mereka sendiri.

Dulu, kini dan selamanya
izinkan kuucapkan padamu kekasih Allah
Aku Cinta Padamu.

Hasbullah Mohamed Rahman al-Masnuri
Kolej Dayasari, Uni.Malaya
12 Rabi'ul Awwal 1429H bersamaan 202315H Mac 2008

Cinta Si Penggali Kubu

Hamparan bumi yang kuterdampar padanya
terasa empuk menyambut aku yang tersungkur
langit biru yang kuberteduh tatkala mimpi hadir
seakan ingin runtuh kerana menangisi aku
yang mengerengkok kerana terlalu rindu
kepada bidadari syurga yang sedang menanti.

Aku tidak sabar lagi memenggal kepala musuh
atau menembusi tubuh mereka dengan peluru
atau aku dahulu yang gugur syahid
cita-cita yang tidak pernah kunjung padam
gugur sebagai pejuang di medan.

Bumi yang terhampar aku terdampar
esok tanah ini akan menyelimutiku
dan perut bumi menjadi kamar bersemadi
hanya kupohon padamu ya Rabbi
jadikanlah liangku itu sebuah taman
dari taman-taman syurgaMu
hanya engkaulah aku mengharap
tiada lain yang kusembah
melainkan hanya Engkau ya Rabb.

Langit bumbung yang kuberteduh
tapi matahari tetap membakar
awan tetap menggugurkan kandungannya
tatkala langit bersedih
meratapi nasib bumi yang tandus
dan aku yang setia bertahan dalam kubu
kuyup basah bermandi hujan
dengan pakaian seorang pejuang
dan di tangan bukan lagi sebilah pedang
tapi senjata moden yang canggih
yang aku genggam sepanjang masa
dalam lena dan jaga.

Oh bumi yang terhampar aku terdampar
kubina sebuah kubu pertahanan dari musuh
yang bakal menyerang bila-bila masa
sesungguhnya aku sangat mencintai agamaku
aku sangat sayang negaraku ini
walaupun aku tahu bahawa
masih ada beratus-ratus
malah mungkin beribu-ribu Sang Rajunatapa
yang bersedia membuka pintu kota
menderhaka!


Ex-Wira Penggempur PALAPES UM,
Felda Sg. Tengi.
Disember 2007

Sharlinie oh Sharlinie

Sharlinie oh Sharlinie
Dimanakah kau kini
Segenap pelusuk puas dicari
Masih belum jua ditemui.

Sharlinie oh Sharlinie
Selepas Nurin Jazlin ditangisi
Kehilanganmu pula dibimbangi
Entah siapa manusia tiada hati
Manusia manakah tiada sifat insani
Engkau yang comel pula dizalimi.

Sharlinie oh Sharlinie
Bapamu rindu pada senyummu
Ibumu kempunan telatah lucu
Adikmu hilang kakak yang membantu
Kami kehilangan adik yang pemalu.

Sharlinie oh Sharlinie
Semoga engkau selamat adik
Dari manusia yang menculik
Pulang dalam keadaan baik.

Sharlinie oh Sharlinie
Engkaulah ratu hati kami kini
Kerana wajahmu bermain di dalam mimpi
Setiap anak Malaysia yang membimbangi
Kepulanganmu sentiasa kami nanti
Kerana senyumanmu akan mengubati
Jantung hati yang resah ini.


Kolej Dayasari, UMKL.
23 Januari 2008

Gurindam Anak Sekolah

Anak-anak hendak ke sekolah
minta seringgit sebagai upah.

Baju sepasang tidak cukup
tetapi belajar tetap lingkup.

Berjalan kaki dia tidak mahu
hantar di pagar ponteng selalu.

Cikgu mengajar tidur sahaja
bila ditanya tak tahu apa-apa.

Cikgu marah mengadu pada ibu bapa
zaman kini budak sudah besar kepala.

Buat kesalahan cikgu jentik sedikit
tunjuk pada ayah macam kena gigit.

Emak ayah bekerja siang malam makan gaji
anak ke sekolah minta duit tapi tak mengaji.

Baiknya anak ayah setiap hari pergi ke sekolah
tapi anak melencong jumpa kawan hisap dadah.

Belajar pula syarat hendak lulus periksa
tapi budi, akhlak, ilmu - entah ke mana.

Hidup terkongkong didakwa terpenjara
kononnya tiada kebebasan jiwa remaja.

Bukan semua anak sekolah sekarang tidak baik
tapi rosak susu sebelanga kerana nila setitik!


Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
20 Januari 2008

Satu Jasad Satu Nyawa

Kita berhutang satu jasad satu nyawa
syurga yang kita damba
belum tentu tertunai segera
dosa yang kita tidak minta
tidak terelak lantaran alpa
namun kita hanya hamba
segala-galanya adalah Dia
walau sehelai rambut yang gugur
adalah atas kehendak-Nya jua
maka sedarkah kita
setiap nafas yang kita terhutang
entahkan bila membayarnya
takkan termampu!

Satu kepala satu perut
kepala mengangguk bertukar geleng
mulut tersuap mulut bercakap
dua tangan dua kaki
apa dibuat ke mana melangkah
pernahkah kita perhitungkan
dua mata dua telinga
terlihat haram terdengar sumbang
satu jantung satu hati
adakah berdenyut kerana Tuhan?
adakah terdetik kerana keikhlasan?

satu jasad satu nyawa
syukurkah kita sebagai hamba
apabila kita merosakkannya?


Kuala Lumpur.
10 Januari 2008

Tafakur Hijrah

Lapan hari lalu tahun baru masihi
orang menyambut ghairah sekali
esok pula tahun baru hijriah
entah apakah akan dirai meriah
aku hanya menanti dengan sabar
adakah orang lain juga merasa debar.

Kadang-kadang aku rasa terharu
setiap kali sambutan tahun baru
ramai orang memasang azam
banyak pula yang menjadi angan
impian dan cita-cita yang dikejar
gugur bersama semangat yang hambar.

Sejenak kudiam bertafakur
di saat semua berdengkur
seusai doa di atas sejadah
merajut harapan kepada Allah
semoga dunia kembali aman
manusia berlumba mencari pedoman.


Teratak Dayasari Universiti Malaya.
10 Januari 2008

Pabila Hujan Naik Ke Langit

Entah sejak bila
kita suka bertanya
tetapi tidak mahukan jawapan
alangkah canggungnya makhluk
apabila hanya ingin hidup
tetapi tidak mahu mati
peliknya kulit apabila terluka
mulut tidak mengadu sakit
jika hujan naik ke langit
apa pula yang akan turun?

Entah mengapa
apabila hujan naik ke langit
orang langsung tidak berasa hairan
malah orang akan mempersoalkan
apa istimewanya hujan naik ke langit?
lagikan dunia sudah terbalik
tapi orang telah terlupa
langit cuma menampung awan
dan awan mengandung hujan
jadi apa yang akan menadah
pabila hujan naik ke langit?


Teratak Dayasari
4 Januari 2008

Kami Rakyat

Petani penanam padi
kesinambungan makanan ruji
nelayan penangkap ikan
hanya badai tengkujuh menghalang
buruh pelentur besi
menara menjulang bermula seurat dawai
guru pengajar di sekolah
mencelikkan minda anak bangsa
pensyarah di universiti
melahirkan generasi cendekiawan hari ini
jurutera melukis pelan
pembangunan tanda kemajuan
peniaga yang berjual beli
di situlah nampaknya taraf ekonomi.

Kami adalah rakyat
kuasa di tangan kami hanya
sebatang pensel memangkah undi
menentukan tampuk pimpinan
ibu pertiwi tercinta ini.


Teratak Dayasari Uni. Malaya.
5 Disember 2007

Bahasa Angkasa

Bintang mengerdip indah malam ini
berbicara kepadaku dalam bahasaku
"di mana semangatmu pejuang?
Bangkitlah dikau, gapailah aku".

Bulan terang malam ini
purnama penuh empat belas hari
tersenyum penuh makna
lalu bertanya pada sang pungguk
"tidakkah engkau cinta kepadaku
wahai pungguk setia merindu ?"

Tiba-tiba mendung hitam datang
menghilangkan bintang dan bulan
angin kencang bertiup singgah di telinga
sempat berbisik suara gemersik
"tidak sejukkah pejuang?,
masuklah ke dalam teratak
hujan akan datang merejam
dengan senjata paling tajam
tetapi paling lembut
menikam di hulu kalbu ".

Tidak terjawab segala tanya
hanya biar terus membisu
berdiam diri seribu bahasa.

Bahasaku bahasa angkasa
pada kerdip bintang
pada terang bulan
pada dingin angin
pada bicara
dan makna.


Teratak Dayasari Universiti Malaya.
14 November 2007

Segugus Syair Seloka Jiwa

(buat sahabat yang ke jinjang pelamin)

Sehayat menanggung beban
senafas memperjuangkan keamanan
semimpi mengejar pelangi
sebantal meniduri dinihari
sepemeluk tiang yang berdiri
sekelibat kulihat kau berlari
semasa masa seakan berhenti
seketika tadi merangkak pagi.

Seranjau kau mencari
seseorang menemani hidup
sehidup mengharungi duga
semati makam bersemadi
serasa mencicip nasi
sesuap makan bersama
sesudu kuah sehirup rasa
sepinggan dihadap berdua
sekenyang selepas sendawa
setajuk ketawa lucu
serajuk menangis pilu.

Selamat melayari bahtera pancaroba
sekuntum doa kupohon pada-Nya.


Teratak Dayasari, UMKL.
26 November 2007

Cinta Yang Indah

Cinta itu indah
pada mata kita
pada lidah kita
pada telinga kita
kerana kita rasa
kita tahu erti cinta.

Tahukah sebenarnya?
cinta yang indah
indah yang indah-indah
bukan indah yang gundah-gulana
bukan indah yang fatamorgana
adalah cinta Allah
cinta kerana Allah
yakni segala jenis cinta
yang disandarkan pada-Nya
bukan cinta manusiawi
sebelum ikatan yang diredhai.

Kuhanyalah pemuisi
yang mencari cinta Ilahi
cinta suci
cinta sejati
cinta hakiki
cinta diredhai!


Teratak Dayasari
Universiti Malaya.
17 November 2007

Rindu Senyum Manis Ibu

Sungguh, liuk lentok pohon nyiur
menggamit aku supaya pulang ke desa
menghirup harum udara di jelapang padi
halwa telinga kicau burung dan kokokan ayam
dan aku semakin rindu, pada senyum manis ibu.

Pulang ke desa bermakna aku akan meninggalkan kota
menara berdiri gagah juga menggamit aku datang dahulu
namun harum udara di sini hanya dalam pejabat
dan dalam bangunan yang tertutup rapat
di luar membiasakan diri menelan asap
bunyi-bunyi mobil seperti ngauman sang rimau
dan seperti embekan kambing jua
menjadi halwa telinga di perjalanan
gayanya tidak mahu berhenti berbunyi
tetapi di kota, tiada senyum manis ibu
yang selalu aku rindu.

Kolej Kelima Uni.Malaya
Kuala Lumpur.
16 November 2007

Wasiat Ayah

Harum bau setanggi ketika ayah pergi
meninggalkan kami anak-anak si petani
yang berani dan berdikari
mengharungi arus globalisasi

Ayah tinggalkan sawah bendang
untuk kami kerjakan
atau kami biarkan
bendang ditumbuhi lalang.

Aku melangkah ke menara gading
abang kakakku semua sudah bersanding
hanya tinggal aku di bumi asing
tiada masa untukku bermain-main.

Wasiat ayah; jadilah orang yang berguna
kepada agama, bangsa dan negara
sayangi yang muda, hormati yang tua
agar hidup aman sentosa.

Wasiat ayahanda kata keramat
penuh nasihat bersulam hikmat
menjadikan aku seorang yang cermat
memilih jalan hidup yang selamat.


Markas PALAPES UM - Kolej Kelima
Tunas Cipta Mei 2007

Saturday, February 21, 2009

Prolegomena

Telah kugubah sukma diri
menjadi suatu seni
bersuara halus sunyi

Telah kujadikan sepi
ubat uzlah hati
agar ku mengerti
dunia ini sesekali
penuh fantasi nisbi.

Kumulakan yang pertama ini
dengan Nama Ilahi
pencipta buana ini
padaNya segala puji.


Taman Bukit Angkasa