Sunday, February 22, 2009

Cinta Si Penggali Kubu

Hamparan bumi yang kuterdampar padanya
terasa empuk menyambut aku yang tersungkur
langit biru yang kuberteduh tatkala mimpi hadir
seakan ingin runtuh kerana menangisi aku
yang mengerengkok kerana terlalu rindu
kepada bidadari syurga yang sedang menanti.

Aku tidak sabar lagi memenggal kepala musuh
atau menembusi tubuh mereka dengan peluru
atau aku dahulu yang gugur syahid
cita-cita yang tidak pernah kunjung padam
gugur sebagai pejuang di medan.

Bumi yang terhampar aku terdampar
esok tanah ini akan menyelimutiku
dan perut bumi menjadi kamar bersemadi
hanya kupohon padamu ya Rabbi
jadikanlah liangku itu sebuah taman
dari taman-taman syurgaMu
hanya engkaulah aku mengharap
tiada lain yang kusembah
melainkan hanya Engkau ya Rabb.

Langit bumbung yang kuberteduh
tapi matahari tetap membakar
awan tetap menggugurkan kandungannya
tatkala langit bersedih
meratapi nasib bumi yang tandus
dan aku yang setia bertahan dalam kubu
kuyup basah bermandi hujan
dengan pakaian seorang pejuang
dan di tangan bukan lagi sebilah pedang
tapi senjata moden yang canggih
yang aku genggam sepanjang masa
dalam lena dan jaga.

Oh bumi yang terhampar aku terdampar
kubina sebuah kubu pertahanan dari musuh
yang bakal menyerang bila-bila masa
sesungguhnya aku sangat mencintai agamaku
aku sangat sayang negaraku ini
walaupun aku tahu bahawa
masih ada beratus-ratus
malah mungkin beribu-ribu Sang Rajunatapa
yang bersedia membuka pintu kota
menderhaka!


Ex-Wira Penggempur PALAPES UM,
Felda Sg. Tengi.
Disember 2007

No comments:

Post a Comment